Tuesday, 31 May 2011

Salam Dari Kota Mekah.

Assalamualaikum, salam mesra dari Kota Mekah, tempat yang paling mulia bagi umat islam. Saya berada di Kota Mekah untuk menunai ibadat umrah, setelah selesai menziarah Makam Rasulullah AS di Kota Madinah Munnawarah.
Selesai ibadat umrah walaupun rasa amat penat saya tetap rasa kenikmatan berada di masjidil Haram , dihadapan Baitullahil Haram, terutama selepas berkesempatan berdoa di Makam Ibrahim. Hilanglah buat seketika keletihan , kesusahan, rasa mengantuk, serta kesakitan dalam badan oleh kerana perasaan syukur kepada ALLAH SWT membuat saya lupa kelemahan diri sendiri. Saya tidak boleh menggambarkan perasaan syukur becampur kegembiraan yang dirasai takala selesai Tawaf keliling baitullah, Sai di antara Bukit Safa dan Marwah, dan bertahalul dengan bergunting rambut.
Pada hari hari berikut saya amat bertuah dapat bersolat tiap tiap waktu di Masjidil Haram berkiblatkan Kaabah di depan mata, berbaris saf demi saf dengan ummah dari seluruh dunia. Azan yang berkumandang menyayat hati, bacaan ayat Alquran amat indah dihayati, dan kepuasan dirasa kerana dapat berjemaah dengan Imam Masjidil Haram dan beribu ribu jemaah di masjid yang terulung.
Tiap tiap hari saya berkesempatan dan berusaha supaya mengerjakan umrah dengan bermiqat di Taneem dan Alhamdulillah walaupun umur sudah lanjut , saya dapat habis kerja umrah dengan selesa dan sempurna. Kalau saya rasa penat semasa berjalan saya lihat sekeliling dan nampak kebanyakan jemaah umur lebih dari saya, ada yang uzur, ada yang  tidak dapat berjalan dengan baik tapi tetap gigih berusaha untuk menunai ibadat kepada ALLAH SWT. Saya kagum dengan kesungguhan mereka dan ini memberi saya semangat baru untuk terus berjalan.
Saya amat bertuah kerana hotel pengginapan saya berhadapan Masjidil Haram dan saya dapat menatap Kaabah dari tingkap kamar saya, malah saya bolih solat berjamaah dalam bilik dengan menghadap ke Kaabah. Saban hari saya tidak puas puas merenung dan menatap Kaabah sambil berdoa dan berzikir dan setiap kali saya merasai keagongan ALLAH SWT dan betapa besar anugrahnya kepada manusia dan khasnya kepada umat Islam.
Disini terdapat umat Islam dari seluruh dunia, suasana terdengar hiruk pikuk dengan suara dan pelbagai bahasa , yang utama bahasa arab dengan pelbagai variasi  dan lain lain bahasa termasuk bahasa Eropah. Paras rupa pun mencerminkan kepelbagaian bangsa yang wujud. Tetapi selesai azan berbunyi, sepakat semua jemaah bagaikan satu bersolat dengan tertib dan khusyuk, sama sama sujud menyembah ALLAH yang ESA. Masyaallah , memang semua umat Islam patut mendapat peluang untuk bersolat di Masjidl Haram kerana ini adalah satu pengalaman yang paling ajaib yang kita boleh nikmati.
20 haribulan Mei , hari Jumaat yang bertuah dan mulia bagi umat islam, saya masih di Tanah Haram dan amat bertuah kerana berpeluang untuk solat Jumaat berjamaah  dihadapan kaabah ia itu kiblat buat umat Islam diseluruh dunia. Ia lebih istimewa bagi saya kerana di rumah saya tidak boleh solat Jumaat kerana amalan itu tidak digalak di Negri Serambi Mekah. Alhamdullillah, walau saya tidak faham bahasa Arab tapi saya khusyuk menghayati kutbah dan bersolat Jumaat . Selesai solat saya dengan perasaan sayu mengucap selamat tinggal sebelum bertolak  meninggal  Tanah Haram menuju ke Jeddah sebelum pulang ketanah air.
Perasaan berkecamuk dalam perjalanan pulang. Selepas 11 hari memang saya rindukan tanah air, teringat anak cucu. Dalam masa sama saya sedih untuk meninggal Kota Mekah, meninggal seribu satu pengalaman, tapi saya berpuas hati kerana saya dapat menyempurnakan umrah sebanyak tujuh kali, tiap tiap hari saya mengerjakan umrah, setiap hari saya dapat solat berjamaah di Masjidil Haram, lengkap lima waktu. Saya bersyukur kerana ini bukan pertama kali saya mengerjakan umrah, tapi kali ini  saya dan keluarga amat sihat dan cukup bertenaga untuk mengerja umrah, bukan seperti dulu , kalau dulu walau saya lebih muda dan sihat, tapi tidak dapat membuat umrah setiap hari. Allah SWT , ArRahman ArRahim, Allah yang Pemurah dan Penyayang yang  mengkurniakan kepada kami RahmatNya dan kebaikan kepada kami sekeluarga.
Setibanya di kampung halaman sekali lagi saya memanjat syukur terhadap Allah SWT kerana berkat keredhaanNya selesai ibadat kami dengan selamat dan kami bertemu semula dengan keluarga dan sahabat handai yang di tinggal. 
Sekian , wassalam

1 comment:

  1. Hi Dr Suriani,

    I'm Suziana from Nona Magazine. Would like to know, how many times have you been to Mekah for haji or umrah?

    Would like to hear from you..

    I can be contacted at nursuziana@karangkraf.com

    Suzi

    ReplyDelete