Wednesday, 22 June 2011

Insentif untuk berpoligami dari PAS/ Insentive for Poligamy from PAS

Insentif Untuk Berpoligami Dari PAS.

Saya tertarik dengan tajuk berita yang terpampar dimuka depan akhbar Sinar Harian hari ini ' Insentif Poligami' dan ulasan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negri , Wan Ubaidah Omar yang dipetik  berbunyi " Poligami yang baik boleh menyelesaikan masalah armalah ( ibu Tunggal) yang anak ramai, namun ia mesti dilakukan dengan baik, mesti jujur dan berterus terang". Kerajaan Negri cadang beri imbuhan khas kepada suami yang tidak sembunyi perkahwinan berikutnya, tambah berita yang akan menimbul kegawatan dikalangan isteri isteri dan pertubuhan wanita.

Saya tidak tolak sebulatnya poligami kerana ia diharuskan dalam agama islam tetapi ada beberapa syarat untuk berpoligami. Pertama Si suami mesti layak dari segi keupayaan zahir dan batin. Dia mesti ada pendapatan tetap supaya dapat menyara hidup keluarga dengan baik. Dia mesti berlaku adil pada semua isteri dan membahagi hak isteri isteri secara adil, barulah dia boleh berpoligami.

Di Negri Kelantan suami berhak untuk beristeri kedua atau lebih tanpa meminta keizinan isteri yang masih ada atau istilah isteri tua. Di Negri lain di Malaysia kebenaran bertulis, dan tanda tangan isteri sedia ada untuk suami berkahwin semula, perlu sebelum suami dapat berkahwin buat kali kedua atau seterusnya. Jadi masalah sembunyi perkahwinan kedua tidak timbul, kecuali suami bernikah diluar negara atau di Kelantan. Jadi jika kita mahu ketelusan dari kaum lelaki bukankah lebih baik untuk menukar syarat dimana perkahwinan seterusnya wajib mendapat kebenaran bertulis atau secara lisan didepan Kadi dari isteri pertama.

Saya memang simpati terhadap nasib si armalah, tak kira anak ramai atau sedikit, dan saya alu alukan niat baik sesiapa yang ingin membantu mereka, meringankan beban mereka yang ketiadaan suami untuk berteduh terutama lelaki budiman yang secara ikhlas ingin memperisterikan mereka. Saya tahu niat kerajaan negri adalah kerana mereka prihatin kepada nasib ibu ibu tunggal dan patut dipuji.

Tetapi saya ada berberapa persoalan kepada YB Wan, yang utama adakah YB Wan sedia berpoligami , itu pun kalau Yb belum bermadu,. Saya rasa tak ramai wanita sanggup bermadu walaupun niat suami murni tapi kita takut dan kedekut untuk berkongsi kasih suami, kerana kita terlalu cinta terhadap suami. Kedua apabila diberi insentif , apakah kita pasti yang perkahwinan ini kerana ingin menolong secara ikhlas atau semata untuk mendapat imbuhan. Dan apakah nasib isteri kedua akan terbela selepas perkahwinan, kerana mereka mungkin akan ditinggalkan bila insentif sudah habis atau kerajaan negri sanggup memberi imbuhan berterusan supaya perkahwinan kekal. Jika pernikahan ini berlaku kerana ingin insentif adakah suami mampu untuk menyara keluarga barunya, kalau dia seorang yang berpendapatan tinggi dia tidak perlu diberi insentif. Apakah kerajaan boleh menentukan isteri kedua tidak dianiayai oleh suami dan keluarga barunya.  Maka pemberian insentif adalah perkara yang tidak wajar.

Jadi saya menyarankan agar kerajaan Negri mencari kaedah lain untuk menolong kaum wanita terutama ibu ibu tunggal. Pada diberi insentif untuk berpoligami, lebih baik golongan armalah ditolong secara langsung oleh kerajaan, dengan memberi bantuan kewangan , mengadakan tempat perlindungan untuk mereka yang memerlukan, mengadakan usaha untuk melatih dan memberi peluang kepada mereka untuk berdikari. Saya percaya bahawa ramai armalah akan berhati hati untuk berkahwin, mungkin ada dikalangan mereka yang serik untuk berkahwin lagi, takut untuk menerima kekecewaan sekali lagi. Jadi tidakkah lebih baik menolong kaum wanita ini dengan cara lebih terus kepada mereka, secara telus dan tidak melalui skim yang lebih menguntungkan kaum lelaki.

Saya percaya kerajaan PAS tidak akan bertindak sewenang wenang tetapi akan menkaji semula rancangan ini. Janganlah hingga bukan saja wanita armalah ditipu lagi tapi PAS juga mungkin ditipu oleh lelaki yang hanya mementingkan diri sendiri.

Bagi saya dan suami, Datuk Nik Sapeia, kami membantu wanita melalui derma dan zakat dan melalui persatuan ekasih, tapi terus terang saya istihar buat masa sekarang saya tidak sanggup dan tidak rela bermadu.

ASSALAMUALAIKUM..

No comments:

Post a Comment